Gurindam Rasa
(Dengan apologi pada Yassin Salleh yang mengulit wanita misteri di alam siber)
Johan Jaaffar
Titis-titis hujan di luar bagaikan menyapa kesayuan
Dalam kelam malam
Di antara puputan bayu dan dingin malam
Manik-manik air berlabuh di hujung daunan
Cahaya rambulan memanah
Lalu kilaunya
Bagai sepuhan emas dalam kerlipan api
Engkaukah itu?
Yang datang dalam kocak dan bayang?
Yang menapak dalam ragu?
Melangkah dalam samar?
Yang kedengaran hanya kersik langkah
Dan seretan selendang yang terurai
Dalam kekelaman yang kelam
Inilah aku antara rindu dan sendu
Seorang lelaki yang bungkam dalam resah
Pilu dalam gelisah
Engkaukah itu yang mengetuk pintu nuraniku?
Mengusik kesyahduanku?
Mengulit impianku?
Engkau datang bersama pupusan angin
Yang menusuk kedinginan
Menyentuh pipiku dalam ramah
Menyentuh bibirku dalam kehalusan
Memenjarakan aku dalam keinginan
Dan kerinduan yang panjang
Pastilah engkau
Kerana hanya engkau yang mampu
Menyedarkan aku dari kegelisahan yang panjang
Aku hanyalah seorang pengembara
Yang terawang-awang
Bagaikan seniman yang hanya menjanjikan madah
Bagai pengukir yang menagih ukirnya
Bagai penyair yang mencari ilhamnya
Bagai Romeo yang kehilangan Julietnya
Bagai Shah Jehan yang mahu
Menumpang kasih pada Mumtaznya
Malangnya aku tidak lebih Si Malim Dewa
Yang melayari cakerawala mencari ratunya

Aku perindu malang
Peraih kasih
Pencatat debar
Yang melarikkan kata-kata yang tidak bererti
Pada bayang-bayang
Aku pelarik rindu yang memeta kasih
Diriku yang penuh duka
Lelaki yang enggan mengakui
Bahawa engkau hanya bayangan yang semakin menipis
Ah, kabus bukan kabus dalam keputihan
Hujan bukan hujan bagi alam yang meratapi kegelisahan
Kau tahu
Kilat kilau, raut kalis dan sendu tangis
Tidak akan menemukan mutiara hati
Dan gundah bayangmu
Engkauhkah itu?
Yang terawang-awang di atas kabus nipis
Bagai bidadari syorga loka yang pernah diceritakan padaku
Memanggil namaku
Dan aku terpaku di bumi
Dalam kekaguman
Manik-manik air menitis di pipimu
Lalu aku bertanya
Air matakah itu?
Atau hanya kilauan rambulan yang mengusapmu

Petikan adegan “Rumah Kedai Jalan Seladang” karangan Johan Jaaffar, adaptasi cerpen Samad Said
Aku hanya melihat senyummu dalam kilas pantas
Tiba-tiba wajahmu menghilang bersama awan yang bergerak
Dan bayu yang lalu
Kemboja malam wanginya menikam
Mengingat aku pada bau tubuhnya
Yang cuba kuhelus dalam mimpi
Kau tahu sentuhan jejarimu
Menusuk hati nuraniku
Menggetarkan aku
Menjadikan aku penyair yang kehilangan syairnya
Bagai pujangga mencari madah
Bagai pentafsir mencari makna
Bagai penelaah mencari tafsir
Bagai ilmuan mencari tamsil
Aku mencari rona
Dalam warnamu
Menukil kata dari kesamaran
Dalam kelam malam
Dan hujan yang merembes
Kita sama-sama mencari rindu
Dalam keraguan
Ingatlah
Aku pelaut yang melunakkan ombak
Aku petani yang mencumbui bumi
Aku pemburu yang nanar
Dalam gelisah malam
Tapi aku hilang dalam mencari bayang itu
Kerana semakin kuhampiri
Semakin aku kehilanganmu
Kerana engkau hanya manik-manik
Di hujung daun
Kau hanya imbas rasa
Belai rindu debar jiwa
Titis harapan
Datanglah kalau kau puas mengulit rasa
Bawa helus debar
Dan nafas ghairahmu padaku
Kerana sekian lama kita mencari diri
Sekian lama menafi rasa
Menolak kebenaran
Kita hanya melayan rasa
Di awang-awangan
Mencari helah kehadiran
Hingga kita sama-sama melukakakn
Satu sama lain

Datanglah kau dalam ragumu
Melabuh debar dan rindu
Untuk mencumbuku…
Engkaukah itu Julietku?
Engkaukah itu Mumtazku?
Atau engkau hanya bayang malam
Dan kilauan air di hujungan daun
Atau kau hanyalah
Dia yang menyerupai si puteri jelita dari gunung
Yang mempersenda Sultan Melaka
Yang ingin menumpang kasih
Aku enggan menjadi pungguk
Yang menangisi bulan
Atau burung undan yang mahu
Menakluk mayapada
Aku bukan enggang yang ganas
Tetapi tersisih di rimba
Aku bukan si raja yang menafsui si puteri jelita
Yang terlupa sindiran “burung terbang masakan dapat dipipiskan lada”
Aku hanyalah aku
Aku hanya penyair yang hanyut ke dalam hidupmu
Untuk menumpang secebis harapan
Secarik kasih seulas rindu…
Aku hanyalah pengukir yang kehilangan ukirannya
Penelaah yang kehilangan tamsilnya
Dan pujangga yang kehilangan maknanya
Mungkin bagimu
Kata-kata hanya curahan air hujan
Yang mewarna kelam
Yang melemas malam
Yang meninggalkan manik-manik yang bercahaya
Di hujung daun-daun
Dalam kekelaman
Yang kelam…
Kata-kata bagimu mungkin hanya suara penyair nanar
Yang kehilangan dirinya
Atau sekadar pengukir resah
Dan pelarik rindu sepertiku
Sebenarnya aku hanyalah pelayar yang beruntung
Kerana berlabuh di pangkuanmu…
Siapakah engkau?
Johor Bahru, 2003
—————–
Tan Sri Johan Jaaffar adalah Wartawan Negara (Malaysia) yang konsisten berprofesi sebagai jurnalis dan editor, penulis kreatif pemenang berbagai penghargaan, penulis lakon drama, dan kolumnis, dan pelakon yang banyak membaca. Dia juga Profesor Ajun di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Karirnya bermula sebagai peneliti dan kemudian memimpin divisi majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Biro Bahasa dan Buku, di bawah Menteri Pendidikan Malaysia. Lalu menjadi Pemimpin Redaksi grup Utusan Melayu (1992 – 1998), Chairman Media Prima Berhad, perusahaan media terintegrasi terbesar dan satusatunya di Malaysia (2009 – 2015). Dia juga Ketua Sanctuary Billboards Sdn Bhd, perusahaan periklanan luar ruang dan Ketua Nobel International School di Kuala Lumpur. Sebelumnya, juga menjabat Ketua DBP, penerbit terbesar di negara Malaysia. Dekade 90-an dia anggota dewan Dewan Pengembangan Multimedia (MDC), Dewan Bisnis Malaysia (MBC), dan Komite Malaysia Incorporated (Malaysia Inc). Selain itu, dia juga anggota National Brains Trust pada Pendidikan Nasional, Ketua Dewan Seni Malaysia dan anggota dewan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), sekolah seni pertunjukan terkemuka di Malaysia. Dia adalah anggota komite nominasi untuk kategori Pendidikan dan Komunitas dari Merdeka Awards, Ketua Panel Konsultasi dan Pencegahan Komisi Anti Korupsi Malaysia (MACC) dan penerima anugerah “Tokoh Wartawan Malaysia” (Penghargaan Jurnalis Nasional) yang didambakan di MPI-Petronas Malaysian Journalism Awards, 2019. “Yang jelas, saya bukan penyair,” katanya.
