Puisi Tan Sri Johan Jaaffar | AKU ANAK WAYANG

(Dengan Ingatan Penuh Hormat Pada Rakan Seniman)

Johan Jaaffar

 

Ini duniaku

Dunia wayang

 

Aku membesar melihat Tupai membawakan lagenda Yang Kui Fei

Di tengah bunyi yangqin, xialuo dan erhu

Wayang Cina atau potehi yang mengagumkan aku sebagai anak kecil

Yang belum mengenal dunia

 

Tupai yang entah apa namanya sebenarnya

Menukar dirinya menjadi gundik raja tersohor di Cina

Dia membuka cakerawala ku tentang seni

Pemain pentas pertama

Yang mencelikkan mataku tentang realiti yang lain

Sebelumnya pun aku menggilai persembahan ketoprak, wayang wong, wayang geduk dan wayang kulit

Dari tradisi kaum Ponorogo di kampungku

 

Dalam gerak dan gendang

Aku melihat topeng dan topeng-topengan

Juga wayang orang dan wayang-wayangan

Serta orang dan orang-orangan

 

Apabila Wak Rakiman membawakan ketoprak

Aku melayari alam yang berbeza

Dengan pukulan gendang dan irama gamelan

Yang menusuk

 

Aku mahu menjadi Wak Tarman

Yang membawa cerita waruknya, sang mulia dari Brima

Melawan kuasa jahat

Lalu bertarung mendapatkan Sita Dewi

Dengan bantuan Sang Hanuman

 

Ini dunia baik dan jahat

yang membentuk nilaiku

baik di pentas wayang kullit Wak Tarman

atau pakaian burung meraknya Wak Rakiman

 

Terasa aku mahu menjadi Bodong Bodowongso

Yang mahu mengulit Roro Jongrang yang jelita

Malangnya segala jin jelmaan Bodowongso

Tertipu oleh muslihat Roro Jongrang

Dan kokokan ayam dinihari

Aku ingin menjadi anak wayang

Yang memakai topeng dan menjadi topeng-topengan

Dan menjadi orang yang bukan orang

Dalam wajah orang-orangan

Dalam wayang-wayangan

 

Aku lantas jatuh cinta pada wayang yang bermain di kampungku

Atau apabila Wak Ular datang dengan Sidah dan Simah

 

Ini dunia baruku mengenal seni sedari kecil

Melayari fantasi dongeng dan mitos

Lagenda dan peri sejarah

Antara realiti dan khayalan

 

Tan Sri Johan Jaaffar | Aku melihat topeng dan topeng-topengan

 

Bagiku tiada bezanya realiti

Kerana antara dunia fantasi dan realiti tanpa garisnya

Seperti Demang Lebar Daun yang  mengahwini 99 wanita sebelum mengahwini Wan Sendari

Atau apabila Si Badang menjadi Hercules Melayu yang sebenar

Atau antara Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu

Atau Semerluki yang melihat batu besarnya timbul di Hujung Tanah

 

Lalu datanglah bangsawan dengan gah, ghairah dan riuh rendah

Dengan nama tersohor seantero Malaya

Yang bergerak dari hujung Semenanjung ke timur dan utara

Membawakan cerita Raja Donan, Jula Juli Bintang Tiga, Gul Bakawali

Atau ada kalanya Syamsyir Alam, Raja Laksamana Bentan, Dandan Setia, Keris Taming Sari, Lela Manja, Megat Terawais

Atau Tajul Muluk dan Sakuntala

 

Masakan dapat kulupakan “orang mudanya” yang perkasa

Lagi tampan dan hebat

Bernama Rahman B

Atau “seri panggung” jelita

Menjadi pujaan ribuan

Bernama Rohani B

 

Di tengah mereka aku mengenal dunia baharu yang luar biasa

Di luar prisma kehidupan seorang anak kampung

Yang cuma mengenal parit dan sungai

Daun tembusu dan senduduk

 

Dunia kecilku menjadi besar

Melihat “orang muda” berpakaian gah, menyelamatkan puteri jelita dari jin Afrit

Atau apabila raja yang baik mengalahkan kuasa gelap

Atau apabila Ali Baba menunjukkan tangkasnya bersama 40 penyamun

Ini dunia yang lain

Dan aku tergamam, terpaku dan terpesona

 

Entah sekian lama kumpulan bangsawan ini bermain

Meladeni rasa ingin tahuku

Mewarnai pertumbuhanku

Mencorakkan mindaku

Meremajakan aku

 

Akhirnya mereka hilang begitu sahaja

Seperti awan yang menipis

 

Aku kehilangan

Dan aku tergamam, terpaku dan terpesona

Sebahgian daripada kehidupanku dalam gumpalan awan

Lalu aku terhumban ke pentas sandiwara

Membawa cetera moden dan silam

Membina pentas di balai makan

Bekerja hanya untuk keseronokan

Dan seni

 

Demikian dedikasi sahabatklu

Membawa genre yang semakin menghilang

Mengembalikan kegemilangan yang semakin pudar

Sedangkan orang menggilai filem

Dan TV yang baru bermula

Tapi anak sendiwara menggagahkan juga

Memberi makna kesenian pada orang yang semakin membenci seni

 

Di sekolah aku hilang minat pada pelajaran

Aku mahu menjadi anak wayang

Di kampus aku terdedah pada gelodak marah mahasiswa

Menuntut keadilan

Aku mencari watak manusia kecil yang menghiasi kota

Mereka bukan statistik, bukan angka, bukan props

Mereka real

Tukang sapu, pelacur, pengangkut sampah, gelandangan…

Mereka manusia ciptaanku

Dari kota yang keliru, ke daerah kering dan si puteri yang hilang keputeriannya

 

Tan Sri Johan Jaaffar | Aku menjadi Sultan Mahmud Shah yang nafsu serakahnya menghancurkan semua tamadun

 

Aku menjadi Pateh Kerma Wijaya

Manusia paling dibenci dalam sejarah kesultanan Melaka

Kerana konspirasinya yang mampu menumbangkan sebuah empayar

 

Aku menjadi Sultan Mahmud Shah yang nafsu serakahnya menghancurkan semua tamadun

Aku menjadi Omar, Si Playboy yang menggilai Zuraidah

Dalam “Bulan Selalu Retak” dalam rekacipta A Samad Said

Aku menjadi Stesen Master yang cuba mencari kebenaran

Yang menjadi oportunis seperti yang lain

Dan menjadi tauke bangsawan yang biang keladi, Raja Abdul Muluk

 

Aku menjadi Hamlet yang tragis

Dalam tragedi Shakespeare yang menusuk

Tentang kepura-puraan dan pengkhianatan

Apalah nasib Hamlet dalam igauan kematian bapanya?

“To be or not to be, that’s the question!”

Soalan yang tidak mungkin terjawabkan

 

Dan aku menjadi Dr Thomas Stockmann manusia idealis yang terperangkap

Dalam kejujurannya

Siapakah aku, tanyanya?

Seorang romantik?

Seorang penyelamat?

Atau pengkhianat pada masyarakatnya!

 

Dalam kekecilannya dia besar

Dalam keraguannya dia berani

Dalam kesukarannya dia cekal

Dan menjerit pada dunia, orang yang terkuat di dunia adalah dia yang berdiri sendirian!

 

Lalu siapakah aku di antara Hamlet dan Stockmann

Di antara Raja Abdul Muluk dan Omar

Di antara Sultan Mahmud Shah dan Patih Kerma Wijaya

Apakah aku menjadi sebahagian daripada mereka

Dalam memainkan mereka, siapakah aku

Atau aku hanya aktor yang membawakan watak

Bagai posman yang menghantar surat

Itukah aku dalam kostium dan make-up tebal menjadi Patih Kerma Wijaya yang bernanah jiwa

Dalam kerakusan memusnah segala-galanya

 

Aku anak wayang sebenar

Yang membawa citra kemanusiaan bersamaku

Yang menelanjangkan kebinatangan manusa

Dan mengetengahkan kerakusan mereka

 

Itu dalam make-up tebalku aku menjadi karaktor yang kubawa

Dengan dedikasi dan keyakinan

Kerana aku tidak mampu membuat kesilapan di pentas

Aku anak wayang yang mengabdi diri pada seniku

Seperti Tupai, seperti “orang muda” dan “seri panggung” bangsawan

Aku seperti mereka

Cuma menghibur

Cuba memberi warna

Dan mengubah dunia

Dan seperti teman-teman senimanku

Aku hanya pemain

 

Apakah yang kubawa pada dunia?

Ah, yang berubah bukan karaktor itu

Bukan topeng-topengan itu

Bukan orang-orangan itu

Bukan wayang-wayangan itu

Tetapi aku!

 

(TSJJ, PJ,2021)

Posted in LITERA.